PRU13 semakin hampir. Parti-parti politik telah mengatur
strategi di atas kertas dan menyusun pasukan di gelanggang pertarungan di
seluruh negara. PR dan BN sudahpun memperhebatkan kempen. Pas, Dap dan PKR pula
telah pun mencongak jumlah calon masing-masing. Malah, PR di Negeri Sembilan
sudahpun melancarkan manifesto PRU13. Yang belum diputuskan ialah perundingan
di peringkat Majlis Presiden PR.
BN pula, meskipun sedang memperhebatkan kempen, mereka
nampaknya masih belum sampai ke peringkat pembahagian kerusi dan pemilihan
calon. Mungkin kerana organisasinya yang mantap dan status quo kuota parti
menjadi rujukan asas, tugas itu akan lebih cepat terlaksana bila tiba masanya.
Gerak-geri Perdana Menteri pula kian diperhati dengan teliti. Langkahnya,
kata-katanya, malah dehemnya bila menjawab soalan wartawan mula ditafsir,
apakah itu petanda PM sudah memperoleh ilham mengumumkan tarikh pilihanraya.
Walau apa pun strategi dan taktik, kempen dan skim,
peruntukan dan perbelanjaan parti-parti politik dalam menghadapi pilihanraya,
pelaksana semua hasrat parti, ialah manusia yang terpilih menjadi calonnya.
Calon-calon inilah yang akan ke hadapan untuk memikul jenama dan panji-panji
partinya untuk memenangi pilihanraya di peringkat negeri mahupun Parlimen.
Calon-calon pilihanraya terbahagi kepada dua kategori. Yang
pertama, penyandang jawatan yang boleh terpilih kembali menjadi calon. Kategori
kedua, adalah muka-muka baru. Di antara yang keduanya, si penyandang jawatanlah
yang lebih suspens apakah mereka akan dipilih lagi atau sebaliknya. Pada saat
inilah, prestasinya selama ini menjadi ukuran.
calon-calon yang boleh menang atau winnable candidates,
mereka lazimnya tenang bagai pelajar cemerlang prestasinya kerana tekun membuat
homework. Mereka tidak seperti calon yang boleh kalah atau losable candidates
yang berperangai seperti pelajar yang suka buat kerja last minute.
Mereka akan menanti panggilan telefon dari petugas pemimpin
parti. Kalau terpilih, okey. Jika sebaliknya, tidak mengapa.
Sebaliknya, penyandang jawatan yang menjadi calon-calon yang
boleh kalah ini lain pula gelagatnya. Mereka tidak senang duduk dan tidak betah
berdiri. Mereka akan melangkah ke sana ke mari mencari jalan agar terpilih
menjadi calon. Seolah-olah membela hantu raya, mereka mampu menjelma di
mana-mana majlis yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti. Jika tidak
terpilih bersama delegasi pemimpin parti ke luar negara, mereka akan pergi
sendiri dan akan menyelit menunjuk muka di mana sahaja pemimpin mereka pergi
agar wajah mereka tidak dilupakan oleh pemimpin parti.
Dia akan mula petah bercakap. Tetapi kata-katanya tidak
lebih daripada mengulang ucapan pemimpin tertinggi partinya. Dia akan terus
berhujah, tetapi hujahnya bersandarkan emosi dan bukannya fakta. Dia mampu
mengungkap kisah lalu yang nostalgik, tetapi bukannya melakar ucapan catatan
sejarah. Dia boleh bersyarah dengan penuh bersemangat, tetapi sekadar berani di
hadapan pengikut-pengikutnya yang sudah pasti akan memperdengarkan riuhnya
tepukan. Jika dipinta untuk menjawab apa yang dilontar oleh parti lawan, dia
lebih rela mendiamkan diri kerana takut tersalah cakap, langsung jatuh saham
menjadi calon semula.
Ketika mahukan undi dahulu, dia menjual mimpi. Setelah
menang pilihan raya, kita sampai terlupa mimpi untuk bertemunya lagi. Ketika
menjadi calon dahulu, dia kerap menemui para pengundinya. Kini dia datang lagi.
Tetapi malangnya, dia sudah tidak dikenali. Jika dahulu dia melidi, kini
tubuhnya sudah membulat.
Jika dahulu jalan menunduk, kini asyik memandang ke langit,
seolah-olah memandang pencakar langit di kampung. Dahulu berkereta nasional,
kini berkereta internasional. Meskipun dia masih mengangkat tangan pada Pak
Dolah yang mengayuh basikal ketika berselisih dengan kereta menjalarnya, Pak
Dolah tidak nampak lambaiannya kerana gelapnya cermin kereta.
Kini, dia muncul kembali di tengah-tengah para pengundinya
bersama sekumpulan petugas-petugasnya. Kesemua berkaca mata hitam dengan
telefon bimbit atau tab dan iPad di tangan masing-masing. Bila di warung, para
petugasnyalah yang duduk semeja dengannya. Mereka menjadi tembok yang
mewujudkan jarak yang akhirnya menjauhkan hati mereka yang pernah mengundinya.
Petugas-petugasnya itu bukannya penapis tetapi menjadi penepis segala maklumat,
hasrat dan rintihan hingga satu pun tak sampai ke telinganya.
Inilah dia calon yang boleh kalah. Dia bukan sahaja tidak
akan memperoleh undi baru, malah maaf cakaplah, undi dahulu daripada jiran,
saudara-mara, teman sekolah, sekuliah, sekampus, sepejabat, sekampung, setaman,
seqariah atau sejemaah tidak akan diperolehi lagi. Para penyandang jawatan yang
mempunyai ciri-ciri ini, bersedialah untuk menutup telefon anda bila tidak
terpilih lagi kerana anda adalah calon yang boleh kalah. Lagi pun, tiada
sesiapa pun yang akan menghubungi untuk menghulurkan simpati. Kasihan.
Credit to :maafcakap.blogspot